Tuesday, February 9, 2010

Dekorasi Siling

Siling rekaan bingkai dan dekorasi sesuai bagi kediaman mempunyai
lelangit sembilan kaki.

Hiasan dalam bentuk lukisan, corak dan lepa kumai serlah seri ruang

SILING dianggap kebanyakan orang sebagai 'dinding kelima' kediaman. Oleh kerana kedudukannya di atas, selain berfungsi menyembunyikan pemandangan kurang menarik kerangka bumbung, tidak ramai sebenarnya yang mengambil berat soal penataannya.

Ramai yang membiarkannya sekadar dicat dan hiasan yang ada cuma lampu atau kipas. Bagi yang mampu, mereka boleh memilih pelbagai jenis siling lepa kumai yang menarik.

Hakikatnya, siling, seperti juga dinding, sekiranya diberi sentuhan kreatif, mampu mengindah serta menceriakan ruang. Pelbagai cara boleh dicuba demi menyerlahkan keindahannya, termasuk memasang siling berbeza ketinggian untuk mempamerkan fungsi ruang.

Sebelum itu, kenal pasti dulu siling jenis tinggi atau rendah. Siling rendah misalnya, sesuai bagi ruang luas yang bertujuan mewujudkan ruang duduk santai, selain ruang makan selesa manakala siling tinggi sesuai bagi bahagian seperti bilik tidur dengan syarat bilik itu luas.

Pasang sama ada panel sempadan kayu mahupun birai hias lepa kumai pada tempat pertemuan siling dengan dinding untuk membangkitkan karektor ruang. Dua kemasan ini boleh dipasang di mana-mana bilik pun, dengan syarat ketinggian silingnya melebihi lapan kaki. Anda boleh kreatif dengan menggabungkan lebih daripada satu motif dan corak menghiasi siling yang sama.

Siling berlapis dengan rekaan dan corak unik, selain mencuri tumpuan, juga penting sebagai prasyarat meletakkan candeliar serta lampu hiasan, khususnya di ruang makan. Menerusinya, pusat dan titik tengah ruang untuk dihiasi candeliar dan lampu gantung eksklusif, boleh dikenal pasti.

Binaan siling rekaan bingkai dengan elemen dekorasi digalakkan bagi kediaman yang mempunyai lelangit setinggi sembilan kaki. Jika berhasrat mengubahsuai kediaman terutama membabitkan bahagian atas kediaman, siling jenis ini mampu memenuhi keperluan estetika. Rekaan serta motifnya yang pelbagai berupaya membawa nafas baru struktur siling sedia ada.

Siling gaya bingkai yang tersohor sewaktu kegemilangan seni bina Greek dan Roman ini mengandungi lekuk panel sesuai menempatkan lampu rekaan melengkung dan bercahaya tumpu. Lampu ini apabila dinyalakan, boleh menghasilkan cahaya dan bayang menarik pada siling serta dinding.

INFO: Panduan menyediakan siling kreatif

  • Siling kubah tampil eksklusif andai ditambah papan nipis berhias manik mewah gemerlapan. Secara visualnya juga, ia menjadikan siling nampak dekat dengan lantai.
  • Pemasangan panel sempadan siling menyelitkan unsur hiasan di bahagian dinding dengan siling bertemu.
  • Siling dengan pola dan himpunan corak menaik atau menegak, memerlukan anda mendongak untuk melihatnya. Ini satu helah supaya ruang tampak lebih luas dan tinggi berbanding biasa.
Serlahkan keceriaan alang dan gelegar (kayu yang menyangga lantai) bumbung terdedah dengan mengecatnya menggunakan latar warna gelap dan bertentangan dinding.


Damai Dikamar Tidur

Bilik tidur dengan siling tinggi menjadikan ruang
tampak luas



Pemilik kediaman harus bijak adun keserasian perabot, skema warna, susun atur bagi hidupkan fungsi ruang istirahat

ANTARA ruang penting dalam sesebuah rumah adalah kamar tidur yang turut menjadi ruang privasi atau peribadi penghuninya. Ruang ini lazimnya terletak jauh daripada ruang sosial lain bagi memastikan pengguna tidak diganggu aktiviti di ruang sosial berhampiran.

Tidak kurang juga yang merujuk kamar tidur ini sebagai penawar jiwa dan raga kerana ia satu-satunya ruang peribadi untuk beristirehat selain menukar pakaian dan menghias diri selepas mandi. Ia juga lokasi paling tepat untuk membincangkan perkara intim dengan pasangan selain membaca sebelum tidur. Tidak kurang yang bersolat di ruang ini kerana ketenangan yang mampu diperoleh ketika beribadat.

Kamar tidur ini merangkumi bilik tidur utama yang digunakan pemilik rumah, bilik tidur kedua bagi kegunaan anak bujang atau bilik tidur kanak-kanak dan bilik tidur tetamu. Kesemua bilik tidur itu perlu dilengkapi beberapa keperluan bagi membolehkannya berfungsi dengan baik.

Mungkin tidak ramai yang menyedari kepentingan kamar tidur ini sebagai ruang penting memulakan hari kita. Jika mahukan hari yang ceria, maka kamar tidur mestilah kita ceriakan dulu dengan merancang kamar tidur dengan baik, iaitu dari segi kedudukan, susun atur, pemilihan bahan, skima warna dan aksesori dalamannya.

  • Lokasi kamar tidur utama
Set hiasan skema warna bagi bilik tidur anak perempuan.


Bagi golongan muda yang masih bertenaga, lokasi kamar tidur bukanlah isu utama. Lebih-lebih lagi kalau rumah yang mereka miliki itu jenis rumah teres dua tingkat yang sederhana. Pihak pemaju sudah menentukan kamar tidur utama berada di tingkat atas kerana tingkat bawah hanya cukup untuk ruang tamu, ruang makan, dapur dan bilik utiliti. Tetapi bagi pemilik sudah berumur, lokasi kamar tidur utama ini perkara pokok yang harus diambil kira. Rata-rata mereka mahukan kamar tidur di tingkat bawah untuk mudah keluar masuk tanpa perlu memanjat tangga yang tinggi apabila tua atau sakit.

Lebih baik jika kamar tidur ini berhampiran dapur untuk mudah mengambil minuman. Maklum sajalah apabila sudah pencen, anak pun sudah dewasa dan kebanyakan mereka tidak tinggal bersama lagi kerana inginkan kebebasan atau sudah berumahtangga. Jadi semuanya perlu dibuat sendiri. Bilik air juga haruslah bercantum dengan kamar tidur ini untuk kemudahan ke tandas. Alangkah indahnya sekiranya kamar ini juga mempunyai tingkap atau pintu kaca menghadap sebuah taman hijau kecil bagi menyejukkan suasana dan menyamankan pengaliran udara. Ini pasti membantu mengurangkan tekanan jiwa mereka yang terpaksa duduk di dalam kamar tidur untuk jangkamasa lama kerana sakit. Bunyi desiran air mengalir juga membantu sebagai terapi jika ia dijadikan sebahagian taman itu.

  • Aksesori kamar tidur utama
Apabila sakit dan tidak dapat keluar dari kamar tidur, kita semestinya akan berasa bosan dan ini boleh menyebabkan tekanan selain menjejaskan proses pemulihan. Selain pemandangan luar yang redup dan nyaman, kita juga memerlukan kelengkapan hiburan lain seperti televisyen dan set Hi-fi berkualiti. Jika ini menjadi keperluan, eloklah disediakan perabot bersesuaian sama ada jenis kekal atau mudah alih. Kedudukannya tentu sekali ditempatkan bertentangan kaki katil supaya kita boleh berehat sambil menonton program televisyen kegemaran kita.

Kamar tidur bagi warna emas sesuai berhampiran bilik mandi.


Biasanya di bahagian kiri dan kanan katil, meja sisi dihiasi lampu meja di atasnya, diletakkan bagi membaca sebelum tidur. Meja sisi ini haruslah cukup lebar bukan hanya untuk menempatkan lampu, bahkan alat-alat lain seperti telefon, alat kawalan jauh dan yang paling penting makanan dan minuman ketika sakit.


Elak daripada menggunakan warna yang berbilang. Ini akan menjadikan suasana bilik tidur bertambah kompleks dan tidak ketentuan. Contohnya warna pelangi yang boleh memberi kesan sebaliknya dan menyebabkan sukar untuk merehatkan badan dan fikiran.

Walaupun kurang digalakkan menggunakan warna terang dan panas, ini tidak bermakna anda perlu bergantung sepenuhnya kepada pilihan warna lembut atau suram. Bagi menambah keanggunan, gaya dan kreativiti, anda juga boleh memberi tumpuan kepada hiasan dinding seperti mengecatnya dengan warna kontras. Atau hiasnya dengan stensil atau kumai. Cuba bayangkan perasaan anda bila berbaring di atas katil, memandang ke atas dan melihat hiasan stensil berbentuk bintang. Ibarat melihat bintang di langit.

Jika siling rendah, pilih warna lebih cerah daripada warna dinding supaya bilik tidur tampak lebih luas. Sebaliknya, gunakan warna lebih gelap daripada dinding untuk menjadikan bilik tidur dengan siling tinggi tampak lebih mesra.

Bagi pemilihan aksesori penyeri tingkap, lebih baik jika anda menggunakan langsir dua lapis dengan satu lapisan jarang dan satu lapisan lagi yang tidak lut cahaya. Ini kerana ada masanya apabila kita sakit, cahaya matahari menjadi masalah utama apabila terlalu terang dan silau. Jadi kita haruslah menyediakan eksesori tingkap yang dapat menapis cahaya matahari ini dan pada waktu yang lain memberi kita peluang menikmati pemandangan di luar dengan keadaan lebih terkawal.

  • Pengaliran udara semula jadi
Apabila kita sakit atau tua, udara semula jadi yang nyaman adalah yang terbaik untuk tubuh. Udara pendingin hawa yang dikitar semula berulang kali, tidak begitu menyihatkan meskipun menyamankan kerana suhu yang rendah. Paling ideal untuk tubuh kita adalah yang mengalir bebas dengan rongga-rongga ventilasi atau pengaliran yang membolehkan udara masuk dan keluar dengan sendirinya tanpa menggunakan kaedah mekanikal atau elektrikal.

Namun, pemilik rumah juga harus sedar akan kepentingan ini kerana ramai juga pemilik hanya mencari jalan mudah memasang pendingin hawa bagi menyelesaikan pengudaraan panas dalam ruang. Bagaimanapun, tidak salah untuk memasang kemudahan itu kerana kita mempunyai alternatif sama ada hendak dihidupkan atau dimatikan pada waktu tertentu.

  • Kamar terancang, penghuni riang
Persekitaran kita haruslah mampu membantu daripada segi mental, fizikal dan kerohanian. Oleh itu, ia harus dirancang dan direka dengan mengambil kira aspek rasional dan bukan mengikut kehendak trend atau emosi semata-mata. Skima warna bagi kamar tidur haruslah dipilih dengan bijak kerana kita harus memikirkan juga keadaan kritikal seperti hari tua atau sakit. Kalau sesuatu warna itu lebih menimbulkan tekanan emosi dan mental dari sudut kesihatan maka mengapa harus kita ikut orang lain semata-mata kerana trend atau fesyen. Sebagai peringatan, ruang ini adalah rumah kediaman dan bukannya ruang komersial.

INFO: Tip hias kamar tidur

  • Elak penggunaan warna berbilang yang menjadikan suasana bertambah kompleks dan tidak ketentuan.
  • Walaupun kurang digalakkan menggunakan warna terang dan panas, ini tidak bermakna anda perlu bergantung sepenuhnya kepada pilihan warna lembut atau suram.
  • Bagi siling rendah, pilih warna lebih cerah daripada warna dinding supaya bilik tidur tampak lebih luas.
  • Jika anda menggunakan langsir dua lapis dengan satu lapisan jarang dan satu lapisan lagi yang tidak lut cahaya.