Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Friday, October 29, 2010

Kisah Ashabul Kahfi


Firman Allah; “Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘ashabul kahfi’ (penghuni gua) dan ‘ar-raqiim’ (anjing mereka) termasuk antara tanda-tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdo`a: "Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”. (al-Kahfi: 9)

Ashabul kahfi (penghuni-penguni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas –menurut para ulama’- terdiri dari tujuh orang pemuda iaitu;

1. Maksalmina
2. Tamlikha
3. Martunus
4. Bainunus atau Nainunus
5. Sarbunus
6. Dzunuanus
7. Kasyfitatanunus


Bersama mereka seekor anjing bernama Qitmir mengekori mereka. Pemuda-pemuda ini beriman kepada Allah di tengah kekufuran kaum dan bangsa mereka. Identiti mereka sebagai pemuda yang beriman diakui oleh Allah dengan firmanNya; “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk”. (al-Kahfi: 13).

Menurut ahli sejarah, kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam di satu negeri bernama Afsus yang terletak di Turki (ada pendapat menyatakan di Jordan, dan ada juga mengatakan di Syria). Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah dan beribadat mengesakanNya. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini menganut fahaman kufur/berhala dan ia memaksa rakyat di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah yang dibawa Nabi Isa a.s. dan bertukar kepada agama kufur/berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan siksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu. Namun tujuh pemuda beriman tadi tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat demikian.

Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu. Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman dan prinsip aqidah ilahi yang mereka yakini. Allah berfirman menceritakan peristiwa mereka berhujjah; “Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan hujjah kepada raja): "Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”. (al-Kahfi: 14-15).

Walaupun tidak mampu menjawab hujjah-hujjah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman ini, raja yang kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad dari agama mereka. Ia memberikan tempoh beberapa hari kepada mereka. Jika selepas tempoh itu pemuda-pemuda ini tetap berkeras, maka mereka akan dimurtadkan secara paksa atau akan dibunuh. Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda ini bermesyuarat sesama mereka untuk mencari keputusan yang muafakat; apakah tindakan yang sepatutnya diambil untuk mempertahankan diri dan juga agama mereka? Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di kawasan pedalaman/kampung.

Firman Allah; “Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”. (al-Kahfi: 16).

Mereka lari ke pedalaman di kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama ar-raqiim. Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu. Di dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah.

Ia telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut. Firman Allah menceritakan tentang mereka di dalam gua; “Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya”. (al-Kahfi: 11). Allah ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka Allah telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat lama iaitu selama 300 tahun (mengikut perkiraan tahun Masihi) atau 309 tahun (mengikut tahun Hijrah).


“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun)”. (al-Kahfi: 25).


Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah, badan dan jasad mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur. “Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka”. (al-Kahfi: 18). Setelah sampai tempoh yang ditetapkan Allah (iaitu 300 tahun atau 309 tahun), mereka dibangunkan.

Ketika mereka bangun mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka tidur dalam jangka masa yang amat lama. Mereka menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari atau separuh hari sahaja. “Berkatalah salah seorang di antara mereka: "Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)". Mereka menjawab: "Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari….”. (al-Kahfi: 19).

Sebaik bangun dari tidur mereka, mereka terasa lapar. Maka sebahagian dari mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke Bandar bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.

Firman Allah menceritakan cadangan sebahagian dari mereka itu; “Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa uang perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya”. (al-Kahfi: 19-20).

Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang gawat dan susah serta kelaparan, tetapi mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih dan halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah. Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bertakwa kepadaNya sedaya yang kita mampu, dalam keadaan mana sekalipun, sama ada senang atau susah.

FirmanNya; “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta ta`atlah; dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu”. (at-Taghabun: 16).
Walaupun Allah menceritakan dalam ayat tadi bahawa pemuda-pemuda amat berhati-hati dan berjaga-jaga agar jangan diketahui orang lain–kerana mereka menyangka raja yang memerintah negeri masih raja yang dulu dan kafir kepada Allah-, namun Allah telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukan kekuasaan dan kehebatanNya. Kebetulan semasa pemuda-pemuda ashabul kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 300 tahun lamanya, suasana negeri telah banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri merupakan orang yang beriman kepada Allah. Begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya.

Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu; bagaimana Allah boleh menghidupkan orang yang telah mati? Apatahlagi yang telah beribu bahkan berjuta tahun lamanya dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah membangkitkan ashabul kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu lagi. “Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahwa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya”. (al-Kahfi: 21).

Allah mendedahkan perihal pemuda-pemuda ashabul kahfi itu semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan. Ia merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan wakil itu dan mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama.

Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua ashabul kahfi bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda itu sekeliannya dan mendengar kisah mereka. Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya. Raja mencadangkan supaya sebuah masjid didirikan di sisi gua itu. Sementara itu ada yang mencadangkan supaya mendirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan. Hal ini diceritakan Allah dengan firmanNya;

“Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (yakni pihak raja) pula berkata: "Sesungguhnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”. (al-Kahfi: 21).

Wednesday, March 10, 2010

Hawwa Isteri Yang Sabar

Hawwa binti Yazid adalah wanita yang awal memeluk Islam. Dia anak saudara Saad bin Muaz. Dia berkahwin dengan Qais bin al-Khatim al-Aus. Mereka mendapat dua orang anak lelaki iaitu Yazid dan Sabit.

Hawwa adalah seorang wanita yang tabah dan sabar. Suaminya seorang penyair yang sangat terkenal. Semasa Hawwa memeluk agama Islam, suaminya masih menganut agama nenek moyangnya. Berita keislaman Hawwa sampai ke pengetahuan suaminya.

"Saya tidak suka awak menganut agama Islam. Berani awak mempermainkan agama nenek moyang kita," kata suaminya.

Hawwa dengan tegas berkata: "Saya sudah bertekad dengan agama Islam. Allah adalah tuhan saya. Allah Yang Maha Esa. Tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah".

"Berani awak melawan cakap saya," kata Qais dengan nada tinggi lalu menampar muka isterinya.

"Biar apa pun yang awak lakukan terhadap saya, saya tidak takut dan gentar," jelas isterinya yang kesakitan menahan tamparan di pipinya.

Sejak Hawwa memeluk agama Islam, suaminya sering menyiksa dan menyakitinya. Anak-anaknya juga masuk Islam. Yazid dan Sabit merupakan sahabat Nabi Muhammad. Yazid pernah menyertai Perang Uhud.

Berita penyiksaan Hawwa oleh suaminya telah sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad.

"Wahai Nabi Muhammad, saya dengar Qais bin al-Khatim menyiksa isterinya, Hawwa yang sudah memeluk agama Islam. Dia kini tinggal di Madinah," kata seorang lelaki kepada Nabi Muhammad.

Pada ketika itu Nabi Muhammad masih berada di Mekah. Nabi Muhammad belum berhijrah ke Madinah. Sejak Islam bertapak di Madinah, ramai penduduk yang tertarik dan masuk Islam.

Mendengar berita penyiksaan Hawwa, Nabi Muhammad berasa simpati lalu berkata: "Saya akan bantu dan menyelamatkan Hawwa dari terus diseksa oleh suaminya".

Pada suatu hari, Qais berjumpa dengan Nabi Muhammad di sebuah pasar iaitu Dzi al-Majaz yang terdapat di Mekah. Pasar itu merupakan pasar orang Arab yang sangat terkenal pada zaman jahiliah.

"Apa khabar Qais," tanya Nabi Muhammad.

"Saya sihat sejahtera," jawab Qais.

Lalu Nabi Muhammad berkata lagi: "Wahai Qais, saya menyeru awak supaya ikut jejak langkah isteri awak memeluk agama Islam".

"Maafkan saya. Pelawaan tuan itu bagus tetapi saya tidak berniat menukar agama. Saya tidak berminat untuk memeluk agama Islam. Tambahan pula pada masa sekarang ini saya sibuk dengan perang," kata Qais.

Pada masa itu telah berlaku perang saudara antara kabilah Aus dan Khazraj. Perang tersebut hampir memusnahkan kedua-dua belah pihak. Akhirnya perang tersebut tamat di Bu'ats yang terletak berhampiran dengan kota Madinah.

Berkali-kali Nabi Muhammad mengajak Qais memeluk Islam. Qais tetap dengan pendiriannya dengan menolak ajakan Nabi Muhammad.

Sebentar kemudian, Nabi Muhammad berkata pula, "Wahai Qais, saya telah menerima khabar bahawa awak sering menyiksa dan menyakiti isteri awak. Sejak isteri awak masuk Islam, awak layan dia dengan kejam. Kasihanilah kepada isteri awak. Takutlah kepada Allah. Jaga isteri awak baik-baik. Jangan awak sakitinya lagi. Saya berharap awak dapat berbuat baik terhadapnya".

Qais tersentuh hatinya apabila mendengar kata-kata Nabi Muhammad. Kemudian dia berkata, "Baik, sebagai menghormati awak saya berjanji tidak akan menyeksa dan menyakiti isteri saya lagi".

Qais pulang ke Madinah dan berjumpa dengan isterinya. Lalu dia berkata: "Semasa saya berada di Mekah saya telah berjumpa dengan Nabi Muhammad. Saya telah berjanji tidak akan menyeksa dan menyakiti awak lagi".

Hawwa gembira lalu bertanya: "Benarkah?"

"Ya. Mulai pada hari ini saya tidak akan mengganggu urusan awak," jelas Qais lagi.

"Terima kasih Muhammad kerana membantu saya menyedarkan suami saya akan perbuatan kejamnya terhadap saya. Terima kasih ya Allah kerana telah membuka hati suami saya. Selepas ini saya akan lebih tenang melakukan ibadah kepada-Mu," bisik Hawwa sendirian.

Hawwa gembira kerana dapat melakukan amal ibadah dengan tenang tanpa sebarang gangguan dari suaminya.

Monday, November 30, 2009

Solat Jamak & Qasar


Allah SWT telah memberi kelonggaran/keringanan kpd umat Islam dlm mengerjakan ibadah solat dalam situasi tertentu khususnya ketika bermusafir. Kelonggaran ini dinamakan RUKHSAH SOLAT.

Sabda Rasullah SAW ;

إن الله يحب أن تؤتى رخصـه كما يكره أن تؤنى معصـيته. رواه أحمد

“Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci dilakukan maksiat kepadaNya”. Hadis riwayat Ahmad.

Rukhsah Solat bertujuan supaya umat Islam dapat menunaikan fardhu Solat dalam apa keadaan sekalipun, di samping membuktikan bahawa agama Islam yamg mengambilkira kebajikan umat dan bukanlah agama yang menyusahkan. Allah telah mensyariatkan Solat Qasar dan Solat Jamak sebagai rukhsah bagi mereka yang bermusafir.


SYARAT-SYARAT PERJALANAN (MUSAFIR) YANG DIBENARKAN UTK SOLAT QASAR/JAMAK

1. Musafir adalah utk tujuan yang baik, bukan utk melakukan maksiat.
2. Destinasi yang dituju melalui 2 marhalah (lebih kurang 91 KM).
3. Mengetahui destinasi yang dituju ( tahu jalannya, tidak tersesat).


HIKMAH DISYARIATKAN SOLAT QASAR/JAMAK

1. Meringan/memudahkan umat Islam utk menunaikan solat dalam perjalanan.
2. Tanda kasih sayang Allah kepada manusia.
3. Supaya solat fardhu dapat dilaksanakan dlm apa kedaan sekalipun.
4. Menggalakkan umat Islam bermusafir/melancong/ziarah-menziarahi bagi menambahkan keimanan dan mengeratkan tali persaudaraan.

SOLAT QASAR

Bahasa ; Pendek dan ringkas.
Istilah ; Memendekkan solat jenis 4 rakaat kepada 2 rakaat.

Jadi, solat yang boleh diqasarkan ialah Solat Zuhur, Asar dan Isyak.


SYARAT-SYARAT SOLAT QASAR

1. Hendaklah melepasi semapadan kawasan tempat tinggal.
2. Tidak berniat bermukim melebihi 4 hari, tidak termasuk perjalanan pergi dan balik.
3. Tidak berimamkan imam yang solat tamam (sempurna) rakaatnya.
4. Masih dlm keadaan musafir ketika mengerjakan solat Qasar.

Cara Solat Qasar

1. Dikerjakan hanya 2 rakaat.
2. Lafaz niat adalah spt beikut ;

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّّهْرِ/ العَصْر/ العِشـَاءِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Zohor/Asar/Isya’ 2 rakaat Qasar kerana Allah Taala.

SOLAT JAMAK

Bahasa : Himpun @ kumpul
Istilah : Menghimpunkan 2 solat fardhu dalam satu waktu dgn syarat-syarat tertentu.

Solat Jamak adalah terdiri daripada Zohor dan Asar, Maghrib dan Isya’.

Solat Jamak terbahagi kepada ;

1. JAMAK TAQDIM – Menghimpunkan 2 solat Fardhu dalam waktu pertama. Cthnya menghimpunkan solat Zohor dan Asar dan menunaikannya dalam waktu Zohor.


SYARAT-SYARAT JAMAK TAQDIM

1. Niat jamak dlm waktu pertama (Zohor/Maghrib).
2. Berturut-turut kedua-dua solat.
3. Perjalanan berterusan sehingga masuk waktu solat kedua.

Cara melakukan solat JAMAK TAQDIM

1. Sunat @ afdhal melakukan solat waktu pertama dahulu (Zohor/Maghrib) kemudian diikuti oleh Solat Waktu kedua (Asar/Isya’)
2. Selepas salam solat pertama, sunat iqamah dan kemudian dirikan solat yang kedua.
3. Contoh lafaz niat Solat JAMAK TAQDIM


Solat Zohor dan Asar Jamak Taqdim

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّّهْرِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العَصْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Zohor 4 rakaat dihimpunkan solat Asar kepadanya
Jamak Taqdim kerana Allah Taala.

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى الظُّّهْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Asar 4 rakaat dihimpunkan kepada Zohor
Jamak Taqdim kerana Allah Taala.



Solat Maghrib dan Isya’ Jamak Taqdim

أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العِشـَاءِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Maghrib 3 rakaat dihimpunkan solat Isya’ kepadanya
Jamak Taqdim kerana Allah Taala.

أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى المَغْرِبِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Isya’ 4 rakaat dihimpunkan kepada Maghrib
Jamak Taqdim kerana Allah Taala.



2. JAMAK TA’HIR - Menghimpunkan 2 solat Fardhu dalam waktu kedua. Cthnya menghimpunkan solat Zohor dan Asar dan menunaikannya dalam waktu Asar.

SYARAT-SYARAT SOLAT JAMAK TA’HIR

1. Berniat melakukan solat Jamak Taqdim dalam waktu pertama (Zohor/Maghrib).
2. Masih dalam perjalanan sehingga kedua-dua solat selesai didirikan.

Cara melakukan solat JAMAK TA’HIR

1. Sunat @ afdhal melakukan solat waktu kedua dahulu (Asar/Isya’) kemudian diikuti oleh Solat Waktu pertama (Zohor/Maghrib)
2. Selepas salam solat waktu kedua, sunat iqamah dan kemudian dirikan solat waktu yang pertama.
3. Contoh lafaz niat Solat JAMAK TA’HIR


Solat Zohor dan Asar Jamak Ta’hir

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الظُّّهْرِ جَمْعٍ َ تَأْخِيْرٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Zohor 4 rakaat dihimpunkan solat Asar kepadanya
Jamak Taqdim kerana Allah Taala.

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّّهْر اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى العَصْر جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Asar 4 rakaat dihimpunkan kepada Zohor
Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.



Solat Maghrib dan Isya’ Jamak Ta’hir

أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ اَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ المَغْرِبِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Maghrib 3 rakaat dihimpunkan solat Isya’ kepadanya
Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.

أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى العِشـَاءِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍلله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Isya’ 4 rakaat dihimpunkan kepada Maghrib
Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.



SOLAT QASAR DAN JAMAK

Selain drp melakukan solat secara Qasar @ Solat secara Jamak, kita juga diharuskan utk mengerjakan Solat Qasar dan Jamak.

Cara mengerjakan Solat Qasar dan Jamak.

Cara mengerjakan Solat Qasar dan Jamak adalah sama spt mengerjakan solat Jamak Taqdim dan Solat Jamak Ta’hir, Cuma ditambah Qasar sahaja… iaitu Solat Zohor/Asar/Isya’ menjadi 2 rakaat sementara solat Maghrib kekal 3 rakaat.


Contoh Lafaz Niat Solat Qasar dan Jamak.


Solat Zohor dan Asar Jamak Taqdim dan Qasar.

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّّهْرِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العَصْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Zohor 2 rakaat Qasar dihimpunkan solat Asar kepadanya
Jamak Taqdim kerana Allah Taala.

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلى الظُّّهْر جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Asar 2 rakaat Qasar dihimpunkan kepada Zohor
Jamak Taqdim kerana Allah Taala.



Solat Maghrib dan Isya’ Jamak Taqdim dan Qasar.

أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ العِشـَاءِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Maghrib 3 rakaat dihimpunkan solat Isya’ kepadanya
Jamak Taqdim kerana Allah Taala.

أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلى المَغْرِبِ جَمْعَ تَقْدِيْمٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Isya’ 2 rakaat Qasar dihimpunkan kepada Maghrib
Jamak Taqdim kerana Allah Taala.



Solat Zohor dan Asar Jamak Ta’hir dan Qasar.

أُصَلِّي فَرْضَ العَصْر رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ الظُّّهْرِ جَمْعٍ َ تَأْخِيْرٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Zohor 4 rakaat dihimpunkan solat Asar kepadanya
Jamak Taqdim kerana Allah Taala.

أُصَلِّي فَرْضَ الظُّّهْر رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلى العَصْر جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Asar 4 rakaat dihimpunkan kepada Zohor
Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.



Solat Maghrib dan Isya’ Jamak Ta’hir dan Qasar.

أُصَلِّي فَرْضَ العِشـَاءِ رَكَعَتَيْنِ قَصْـرًا مَجْمُوْعًا إِلَيْهِ المَغْرِبِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍ لله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Maghrib 3 rakaat dihimpunkan solat Isya’ kepadanya
Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.

أُصَلِّي فَرْضَ المَغْرِبِ ثَلَثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوْعًا إِلى العِشـَاءِ جَمْعَ تَأْخِيْرٍلله تعالى

Sahaja Aku solat fardhu Isya’ 4 rakaat dihimpunkan kepada Maghrib
Jamak Ta’hir kerana Allah Taala.

sumber : www.tayibah.com

Tuesday, August 11, 2009

Ramadhan: Bulan Rahmat, Beramal Soleh Dan Berpuasa


Bulan Ramadhan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat. Ditamsilkan juga seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Perbuatan yang hidup dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan seperti hujan April yang turun pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya. (The Risale-i Nur Collection, Letters, The Twenty-Ninth Letter).

Seperti yang diungkapkan Bediuzzaman Said Nursi kepada kita melalui kalimat yang indah ini, bulan Ramadhan mempunyai kuasa suci bagi perayaan umat Islam. Umat Islam yang bertakwa dan hidupnya sentiasa mencari keredhaan Allah tidak akan mengabaikan kewajipannya untuk berpuasa sepanjang bulan ini dengan penuh semangat dan keghairahan.


Puasa, seperti yang diwajibkan Allah "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah: 183) dan "...berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui" (Surah al-Baqarah: 184) merupakan tugas yang tidak ternilai faedahnya bagi umat Islam. Kewajipan yang dilaksanakan oleh semua umat Islam akan meningkatkan semangat perpaduan di kalangan mereka yang bertebaran di serata alam. Kenyataan ini berdasarkan dengan aktiviti yang dilakukan bersama-sama ini sekaligus menguatkan kekuatan spiritual. Nabi Muhammad s.a.w. juga memperincikan kepentingan Ramadhan seperti berikut:

"Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat... dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah..." (Diriwayatkan Ibn Khuzaymah).

Berpuasa menjadi peluang keemasan bagi orang beriman yang benar-benar takutkan Allah dan kesempatan dimanfaatkan untuk mendekatkan diri pada-Nya. Melaksanakan perintahnya dengan bersabar menahan lapar sepanjang hari selepas melewatkan sahur dan sebelum menyegerakan berbuka menjadi bukti menuntut keredhaan Allah. Disebabkan itulah, orang Islam yang istiqomah mencari keredhaan Allah akan meraikan bulan ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Sepanjang bulan ini juga umat Islam akan memastikan setiap langkahnya dipenuhi dengan amalan-amalan yang diturunkan Allah selain menunaikan yang diwajibkan.


Tidak kurang juga mereka yang tidak mengamalkan hidup secara Islami di hari lain akan mengubah perilaku dengan berpuasa sepanjang Ramadhan. Ini kerana mereka percaya Allah akan membersihkan dan menyucikan kesalahan mereka dengan menunaikan kewajipan ini. Dengan itu, secara tidak langsung bulan ini bermakna seseorang itu akan mendekati agamanya dan meninggalkan perbuatan buruk yang dilakukannya.


Bulan ini juga sesungguhnya telah menurunkan kadar jenayah dengan peratusan yang tinggi di seluruh negara Islam. Penipuan, pengkhianatan, fitnah dan umpat mengumpat akan ditinggalkan kerana mereka menyedari akan larangan ketika berpuasa. Semangat dan keazaman mereka untuk berfikir dan melakukan perbuatan baik juga meningkat. Dalam erti kata lain, berpuasa seperti memandu mereka untuk berfikir sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung di minda mereka. Bagi sesetengah individu pula, bulan ini digunakan untuk berehat sambil melakukan amal yang soleh dan perbuatan mulia.


Di dalam kalimat yang lain, Bediuzzaman Said Nursi menerangkan bagaimana semua pancaindera orang berpuasa beralih arah dalam pengabdian:

Kejayaan yang bermakna ketika berpuasa ialah dengan menjadikan semua pancaindera dan organ seperti mata, telinga, hati, dan fikiran turut sama berpuasa bersama-sama perut. Dengan ini akan mengelakkannya dari melakukan perkara yang sia-sia dan mendorongnya melakukan amalan pengabdian.

Salah satu hikmah dari berpuasa ialah membolehkan seseorang itu menzahirkan kesyukuran di atas segala rahmat yang Allah limpahkan. Musibatlah bagi mereka yang menggunakan sewenangnya rahmat Allah tetapi tidak tahu untuk berterima kasih pada yang memberi. Bagi mereka semua rahmat ini merupakan hak yang memang patut diterimanya. Allah banyak menyarankan kepada hamba-Nya di dalam Al-Quran supaya sentiasa bersyukur di atas rahmat yang dikurnai-Nya. Allah juga berjanji akan melipatgandakan rahmat bagi mereka yang bersyukur.


Orang yang berpuasa juga akan dilindungi Allah dari segala hasutan syaitan untuk melupakan manusia dari bersyukur. Mereka yang tidak pernah merenung untuk berfikir berapa banyak kurniaan yang telah Allah turunkan akan mula mengucapkan syukur berulang kali di atas segala peluang dan kesihatan yang dikecapinya. Bediuzzaman Said Nursi megatakan bahawa berpuasa di bulan Ramadhan adalah "kunci kepada kebenaran, keikhlasan, kemuncak dan kesejagatan syukur".


Tambahan pula, mereka yang berpuasa akan merasai betapa kerdilnya dirinya di hadapan Allah dan memahami betapa perlunya dirinya kepada Allah. Segala desakan nafsunya menjadi lemah dan kesombongannya bertukar luntur. Memetik dari buku Bediuzzaman Said Nursi:

Bulan Ramadhan akan mengubah jiwa naluri seseorang. Dari sekaya-kaya menjadi semiskin-miskin kerana memahami bahawa harta itu bukan miliknya malah kepunyaan semua orang. Dirasakan juga dirinya tidaklah merdeka tetapi adalah hamba. Diketahui sekiranya tidak diterima sebarang arahan, tidak akan berupaya melakukan sebarang kerja mudah dan senang ibarat tidak dapat menyentuhkan tangan ke dalam air.

Selain pelbagai faedah yang diperolehi dari berpuasa, kesabaran juga antara karakter yang boleh dipupuk dan meyakini kesengsaraan itu mendidik untuk memajukan seseorang. Sebab itulah Bediuzzaman Said Nursi mengatakan: "puasa itu merupakan penawar bagi mereka yang kurang kesabaran dan kurang ketahanan walaupun digabungkan masalah dua orang dalam satu individu". Semua ganjaran yang Allah janjikan akan dikurniakan bagi mereka yang memenuhi kewajipan dengan berpuasa untuk meningkatkan keimanan kepada-Nya. Semua ganjaran ini merupakan balasan di atas ketaatan kepada agama yang dilakukan dengan penuh semangat walaupun orang lain tidak tahu betapa payahnya ketika berhadapan dengan kelaparan ini.Apa yang dijelaskan tidaklah merangkumi semua faedah yang diperolehi dari bulan Ramadhan dan puasa. Ada banyak lagi kebaikan yang tidak kita ketahui atau tidak dihargai tetapi Allah tetap mengurniakannya pada kita di sebalik kewajipan puasa itu.